Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Pengalaman kerja bantu singkat sesi pengajian

PUTRAJAYA: Mereka yang mempunyai pengalaman bekerja dan berhasrat menyambung pengajian di mana-mana universiti di negara ini, boleh membuat penilaian pengalaman bekerja masing-masing bagi membolehkan pemindahan kredit dilakukan, sekali gus memendekkan tempoh pengajian.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penilaian akan dibuat Pusat Pengakreditan Pembelajaran Sepanjang Hayat (Apel) yang ditubuhkan Oktober tahun lalu dan dua universiti lain iaitu Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Universiti Wawasan Malaysia.


“Pusat Apel menyediakan perkhidmatan penilaian dan pengesahan pembelajaran tidak formal yang dimiliki individu berdasarkan pengalaman kerja yang diceburi, bermakna pusat itu akan mengadakan ujian ‘aptitute’ serta portfolio yang akan dikendalikan pakar.

“Apabila penilaian sudah dibuat, kita akan mengira jumlah kredit yang boleh dipindahkan.


“Sebagai contoh, sekiranya tempoh pengajian empat tahun, mereka mungkin boleh memendekkan kepada tiga tahun berikutan pemindahan kredit daripada pengalaman kerja itu,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), di sini, semalam. Pada majlis itu, KPT turut menerima sijil MS ISO 9001:2008 daripada Sirim, hasil keberkesanan kualiti yang dilaksanakan secara berterusan bagi menambahbaik Sistem Pengurusan Kualiti (SPK).


Mohamed Khaled berkata, penilaian akan dibuat berasaskan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) dan norma merit pendidikan formal

Beliau berkata, pengesahan yang dikeluarkan pusat terbabit membolehkan individu berkenaan mengenalpasti peluang pengajian tinggi dan bidang bersesuaian untuk mereka ikuti.


“Ketika ini, penilaian tertumpu kepada program pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan tahap enam MQF dan akan diperluaskan ke peringkat sijil, diploma dam ijazah sarjana nanti,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan pusat berkenaan selaras usaha memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat yang menjadi teras kelima Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).


Katanya, pemerkasaan pembelajaran sepanjang hayat dalam sistem pendidikan negara perlu disokong kemudahan yang menyediakan akses pendidikan lebih luas bagi individu berkerjaya yang sebelum ini tidak berpeluang mengikuti pengajian tinggi selepas tamat persekolahan.

sumber : mymetro

No comments: