Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Pantau masalah sampah di LRT Kelana Jaya

KUALA LUMPUR: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) disaran meningkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di tempat awam termasuk berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT).

Pengurus Hal Ehwal Media Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), Azhar Ghazali berkata, demikian bagi mengulas laporan akhbar ini mengenai longgokan sampah sarap di tangga laluan pejalan kaki berhampiran stesen LRT Kelana Jaya pada Jumaat lalu.


“Pemeriksaan daripada pihak kami, mendapati kawasan berkenaan di bawah seliaan MBPJ. Oleh itu, MBPJ perlu lebih kerap melakukan kerja pemungutan sampah di situ, selain menambah bilangan tong sampah yang ada.

“Ini kerana kawasan tersebut merupakan tumpuan orang ramai. Selain itu, pemantauan juga perlu dilakukan ke atas aktiviti penjaja dan peniaga di kaki lima berhampiran tangga tersebut bagi menjamin kebersihan persekitaran,” katanya menerusi kenyataan media, di sini semalam.


Sebelum ini, Harian Metro melaporkan mengenai sampah yang dilonggokkan di tangga laluan pejalan kaki ke stesen LRT Kelana Jaya, sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada pengguna.


Malah, orang ramai juga merungut kerana terpaksa menghidu bau busuk selain longgokan itu turut menghalang laluan mereka.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainon Zakaria berkata, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan di kawasan tersebut secepat mungkin.


“Sekiranya dakwaan itu benar dan kawasan itu terletak di bawah seliaan MBPJ, kami akan mengarahkan kontraktor membersihkannya.

“Bagaimanapun, MBPJ tidak akan bertanggungjawab sekiranya ia berada di bawah seliaan LRT,” katanya.

sumber : mymetro

No comments: