Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Padah 3 dalam 1

GEORGETOWN: Pada siang hari didakwa merogol seorang pelajar tingkatan tiga manakala pada malam hari pula dituduh menyamar anggota polis serta memiliki senjata berbahaya.

Begitulah padah yang dihadapi seorang lelaki selepas didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret, di sini, semalam terhadap tiga tuduhan.


Bagi tuduhan pertama di Mahkamah Sesyen di sini, penganggur, M Retnam, 32, dari Taman Mewah Jaya, Klang, Selangor didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di kawasan hutan berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau antara jam 2.30 hingga 3.30 petang, 1 Mac lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.


Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menetapkan 16 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi mendapat laporan perubatan mangsa dan keputusan ujian DNA.

Sitarun Nisa juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Sariza Ismail supaya tertuduh dikenakan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.


Di Mahkamah Majistret pula, Retnam mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menyamar anggota polis apabila menunjukkan kad kuasa palsu dan meminta pasport milik seorang warga Indonesia ketika berada dalam lif Pangsapuri Mutiara, Jalan Sungai Emas, Batu Feringgi antara jam 10.30 dan 10.40 malam, 1 Mac lalu

Tuduhan itu dibacakan dalam bahasa Tamil di depan Majistret Nor Aini Yusof manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.


Retnam turut didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu pisau berukuran 27 sentimeter tanpa kebenaran sah di tempat dan masa sama.


Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1), Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebatan.


Nor Aini menetapkan 17 April depan sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen manakala tertuduh dikenakan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tuduhan itu.

sumber : mymetro

No comments: