Partime Job

Thursday 8 March 2012

OKU kena 10 rotan

PETALING JAYA: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) dipenjara 64 bulan dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku salah memiliki dadah jenis kanabis seberat 182.58 gram di rumahnya di Damansara Damai, dekat sini, tiga tahun lalu.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas tertuduh, M Alagesan, 30, menukar pengakuannya kepada bersalah pada peringkat pembelaan.


Beliau memerintahkan hukuman itu berjalan mulai tarikh tangkapan tertuduh iaitu pada hari kejadian.

Tertuduh yang hadir ditemani ibu dan abangnya, kelihatan tenang di kerusi roda miliknya ketika mahkamah membuat keputusan itu.


Seramai empat saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan tampil memberi keterangan sepanjang kes berlangsung.


Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki dadah itu di rumah beralamat Blok Q-018, Apartmen Harmoni, 55, Jalan PJU 10/4C, PJU 10, Damansara Damai, Petaling Jaya, di sini, kira-kira jam 10 malam, pada 9 Oktober 2009.

Bagi kesalahan itu, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1980) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau untuk satu tempoh tidak kurang dari lima tahun dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan jika sabit kesalahan.


Terdahulu, peguam bela mewakili tertuduh, Sangeet Kaur Deo dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman berikutan tertuduh seorang OKU dan tidak bekerja.

“Saya mohon hukuman diberikan seringan-ringannya terhadap tertuduh kerana kesalahan dilakukan tidak mencederakan pihak lain, selain tertuduh tidak bekerja dan kini terpaksa hidup bergantung dengan jagaan ahli keluarga,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Choong Kak Sen memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan sebagai pengajaran kepada golongan OKU bahawa mereka tidak terlepas daripada hukuman.

sumber : myMetro

No comments: