Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Minat membaca makin berputik

DALAM tempoh 14 tahun, kadar bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia dalam setahun bertambah daripada dua buah pada 1996 kepada lapan pada 2010. Itulah fakta terkini mengenai budaya membaca rakyat Malaysia seperti didedahkan Timbalan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Siti Rodziah Othman, baru-baru ini.

Sungguhpun kadar bahan bacaan rakyat Malaysia dalam setahun meningkat, namun ia belum dapat menandingi rakyat di beberapa negara yang berpendapatan tinggi seperti Jepun dan Amerika Syarikat.


Sesungguhnya senario peningkatan minat membaca di kalangan rakyat Malaysia mutakhir ini suatu perkembangan yang positif. Kita tidak dapat menafikan bahawa kecanggihan aplikasi teknologi maklumat seperti Internet dan BlackBerry yang sudah sebati dengan kehidupan masyarakat kontemporari membuka ruang kepada semua orang untuk mengakses pelbagai bahan bacaan sama ada terbitan tempatan ataupun antarabangsa.

Bahan bacaan yang terdapat di Internet misalnya boleh diperoleh dalam pelbagai format, termasuk majalah atau akhbar atas talian, blog, buku elektronik dan melalui enjin carian seperti Google dan Wikipedia.


Pendek kata segala-galanya tersedia di Internet dengan syarat seseorang itu haruslah celik komputer dan celik huruf.


Ledakan teknologi maklumat dan komunikasi ini sudah mencetuskan fenomena kebebasan dalam menuntut ilmu pengetahuan iaitu individu tanpa mengira latar belakang sosial dan akademik boleh menikmati sebarang bahan bacaan berbanding beberapa dekad lampau hanya golongan berada atau intelektual yang berkemampuan memiliki buku atau bahan bacaan.

Selain itu, kehadiran pelbagai syarikat penerbitan di Malaysia meningkatkan lagi variasi bahan bacaan. Ada di kalangan syarikat tersebut yang mengambil inisiatif menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu karya yang laris di pasaran antarabangsa. Hal ini menambah minat membaca di kalangan rakyat, terutama golongan yang selesa membaca bahan berbahasa Melayu.


Situasi ini turut dirangsang oleh inisiatif beberapa kedai buku terkemuka di Malaysia yang mengadakan secara berkala karnival buku di antaranya menawarkan potongan harga hingga 90 peratus

Pengalaman penulis sendiri yang pernah berkunjung ke sebuah pameran buku di ibu negara dapat melihat sendiri beberapa ulat buku tegar yang sanggup memborong berkotak-kotak buku termasyhur jika di pasaran sebenar mahal, namun dapat dibeli pada harga istimewa di pameran buku berkenaan.


Dalam konteks Malaysia yang sedang bergerak menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, maka ia memerlukan rakyat berfikiran kreatif, inovatif dan dinamis bagi merealisasikan hasrat berkenaan.


Lantaran itu, amalan membaca yang konsisten adalah penting agar seorang rakyat Malaysia itu mampu menyumbangkan idea yang praktikal serta berfikir di luar kotak demi kemajuan negara.


Walaupun bilangan bahan bacaan rakyat Malaysia semakin meningkat, namun kita juga harus memberikan perhatian terhadap jenis bahan bacaan yang menjadi kegemaran mereka supaya tidak tertumpu semata-mata kepada bahan bercorak santai seperti majalah hiburan dan komik.


Sememangnya penerapan budaya membaca perlu disemai di setiap peringkat usia, terutama golongan kanak-kanak dan remaja. Pada masa sama budaya membaca juga perlu ‘hidup’ dalam jiwa mahasiswa yang sedang berjuang menuntut ilmu di menara gading.


Seorang pensyarah Jabatan Media di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pernah mendedahkan hasil kajiannya mengenai budaya membaca di kalangan mahasiswa di Malaysia. Berdasarkan hasil kajian tokoh akademik berkenaan, mahasiswa di negara ini hanya membaca empat buku setahun.


Bilangan itu mungkin sudah bertambah kerana kajian dijalankan kira-kira tujuh tahun dulu. Oleh yang demikian, tahap budaya membaca yang tinggi di kalangan mahasiswa adalah satu keperluan memandangkan universiti awam dan swasta ‘kilang’ produk modal insan yang bakal memacu pembangunan negara pada masa depan.


Lebih elok semangat mereka berkobar-kobar diterjemahkan dalam bentuk keghairahan membaca bahan bersifat intelektual serta berkongsi dengan masyarakat sekeliling ilmu pengetahuan yang terdapat dalam karya berkenaan.


Amalan sedemikian suatu perkara yang bermanfaat berbanding jika mahasiswa mengorbankan masa dengan menyertai perhimpunan yang boleh menggugat ketenteraman awam.


Tanggungjawab menerap budaya membaca kepada setiap individu bukanlah semata-mata digalas oleh institusi seperti perpustakaan, sekolah dan universiti. Majikan di sektor awam dan swasta misalnya mungkin boleh memperuntukkan tempoh masa setengah jam dalam seminggu bagi mengadakan sesi ulasan buku untuk membolehkan kakitangan berkongsi ilmu yang ditimba daripada buku yang dibaca.


Hanya orang yang menghargai nilai ilmu pengetahuan sebagai kunci kekuasaan tidak akan mengabaikan amalan membaca dalam rutin kehidupannya.


Penulis Pegawai Tadbir dan Diplomatik lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Kepujian) Universiti Multimedia Malaysia

sumber : mymetro

No comments: