Partime Job

There was an error in this gadget

Monday, 5 March 2012

Logo halal ‘pork-free’

MELAKA: Arahan supaya semua premis menjual makanan di Malaysia hanya menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berkuat kuasa sejak dua bulan lalu, masih gagal dipatuhi sepenuhnya.

Tinjauan Metroplus mendapati masih banyak restoran di sekitar bandar ini menggunakan logo halal dipercayai dikeluarkan syarikat swasta bagi menarik kehadiran pengguna Islam.
Malah, ada juga sebuah restoran menggunakan logo bentuknya seakan logo halal Jakim, tetapi di dalamnya tertera ‘pork-free’ atau bebas daging babi.

Penggunaan logo berkenaan masih menimbulkan tanda tanya terhadap pengguna Islam mengenai penguatkuasaan yang sepatutnya dilakukan bagi memastikan tidak timbul kekeliruan.


Pengguna, Shahril Mohd Zangi, 34, berkata isu halal terutama makanan amat penting dan kerajaan perlu bertindak lebih tegas kepada peniaga yang gagal mematuhi arahan.


Katanya, mungkin tidak semua pengguna Islam di Malaysia tahu mengenai hanya satu logo diiktiraf dan peniaga belum menurunkan logo halal lain.

“Apabila perkara ini tidak dipantau pengguna Islam terus makan di situ sedangkan status halalnya masih diragui.

“Sepatutnya pemantauan dan operasi besar-besaran dilakukan untuk mengarahkan peniaga terbabit menurunkan logo halal selain dikeluarkan Jakim bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya.

Shahril berkata, Melaka turut dikunjungi pelancong Islam dari luar negara, mungkin mereka tidak mengetahui hanya logo halal Jakim diiktiraf.

Katanya, apabila ini berlaku sudah pasti mereka mengunjungi restoran berkenaan akibat terlepas pandang oleh pihak berkuasa.

“Saya berharap perkara ini diatasi segera bagi mengelakkan timbul masalah di kemudian hari atau peniaga terbabit terus menggunakan logo berkenaan untuk meyakinkan pengguna Islam,” katanya.

Sementara itu, pengguna lain, Mohd Sukri Abdullah, 26, berkata perkara ini amat serius dan perlu dibanteras segera bagi membolehkan orang Islam memilih premis menjual makanan yang diiktiraf halal.

Katanya, terdapat banyak restoran terutama di pusat beli-belah, tetapi pengguna hanya yakin restoran itu halal sekiranya ia dipamerkan logo mengenainya.

“Di samping itu, pihak berkuasa perlu memberi penerangan konsep makanan halal mengikut hukum syarak terhadap pengusaha makanan bukan semata-mata premis mereka bebas menjual daging babi.

“Ada pihak menggunakan tanda perniagaan mereka bebas babi, tetapi hakikatnya mereka tidak mengetahui sumber atau bahan yang diadun dalam makanan itu halal atau tidak perlu juga diambil kira,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Datuk Mohd Zin Mansor berkata, pihaknya akan mengarahkan pemilik premis terbabit menurunkan logo halal selain dikeluarkan Jakim sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun ini.

Katanya, sekiranya ia masih digunakan mereka, pihaknya akan melakukan operasi bagi menurunkan logo halal berkenaan.

“Peniaga atau pengusaha makanan yang menggunakan logo halal selain dikeluarkan Jakim mereka diminta membuat permohonan untuk mendapatkan pengiktirafan halal dari Jakim.

“Sekiranya mereka masih menggunakan logo yang tidak diiktiraf tindakan diambil terhadap mereka,” katanya.

Sumber HMetro

No comments: