Partime Job

Friday 9 March 2012

Lelaki isteri enam: 'Biar mahkamah putuskan'


KOTA BHARU - Kerajaan Negeri tidak campur tangan dalam isu membabitkan seorang lelaki yang didakwa menipu empat isterinya untuk bertindak di luar kewarasan dengan menambah dua lagi isteri.

Exco Kerajaan Negeri, Wan Ubaidah Omar berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada mahkamah untuk menentukan keputusan sewajarnya.

“Secara umumnya apabila berlaku perkara seperti ini, individu terlibat boleh disifatkan sebagai jahil agama, seolah-olah tidak tahu dia hanya boleh berkahwin sehingga empat sahaja, namun dalam kes yang dilaporkan itu kita tidak pasti mengenai statusnya sama ada dia sudah menceraikan mana-mana dua daripada isterinya sebelum berkahwin,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan.

Wan Ubaidah ditemui media selepas merasmikan Rumah Perlindungan Wanita Sinar Harapan Kerajaan Negeri Kelantan di Jalan Taman Kurnia Jaya di sini, semalam.

Kelmarin, media melaporkan seorang lelaki berusia lingkungan 50- an dengan bermodalkan air liur dan putar belit begitu licik menipu empat isterinya bagi membolehkan dia menambah dua ‘cawangan’ lagi. Lelaki itu didakwa mengahwini isteri kelima di negara jiran pada Mac tahun lalu dan selang sebulan selepas itu mengahwini pula seorang wanita berstatus janda di tempat sama.

Dalam perkembangan lain, Wan Ubaidah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga berkata, banyak kes melibatkan keganasan terhadap wanita dan keluarga di negeri ini tidak dilaporkan.

Sambil menyuarakan kebimbangannya, Wan Ubaidah berkata, perkara itu berlaku apabila ia melibatkan keluarga sendiri, selain rasa takut dan kasih sayang yang masih bersisa kepada si pelaku.

“Hanya 10 peratus sahaja daripada kes berkenaan dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti polis, hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala selebihnya disembunyikan atas alasan tertentu,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan Pusat Sehenti Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), jumlah kes melibatkan keganasan terhadap wanita meningkat setiap tahun.

“Keadaan ini turut membimbangkan Kerajaan Negeri dan langkah-langkah mengatasinya giat dilaksanakan termasuk mewujudkan pusat berkenaan yang dilancarkan isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak hari ini (semalam),” katanya yang juga Adun Kijang.

sumber : sinarharian

No comments: