Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Juita sedia bantu ibu Dirang


PASIR GUDANG - Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-wakil Rakyat Johor (Juita) bersedia untuk membantu ibu Nurul Nadirah Abdullah di bawah projek Juitaku Sayang.

Bantuan itu akan diberikan kepada Roselyn Alan, 25, untuk membolehkan ibu terbabit dapat menjana dan meraih pendapatan sendiri.

Penolong Setiausaha Kehormatnya, Datin Naini Drahman berkata, pihaknya berhasrat untuk menyenaraikan nama Roselyn untuk menyertai projek Juitaku Sayang XII yang menumpukan kepada penjanaan pendapatan ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah.

“Walaupun Roselyn bukan ibu tunggal, namun Juita berhasrat untuk menyenaraikan namanya untuk menyertai program menjana pendapatan sekiranya dia berminat.

“Menerusi projek ini, Roselyn akan diberi kursus kemahiran seperti menjahit, penjagaan bayi, urutan tradisional, kursus kecantikan serta penyediaan makanan, minuman dan pembungkusan.

“Selepas tamat kursus, dia akan ditawarkan pekerjaan oleh syarikat-syarikat tertentu yang boleh dilakukan di rumah tanpa perlu meninggalkan anak-anaknya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membawa rombongan Juita melawat keluarga Dirang di Flet Seri Delima, Bandar Seri Alam, di sini, semalam.

Pada kunjungan berkenaan, Naini bersama rakan-rakan Juita lain berkesempatan beramah mesra dan bertanya khabar dengan Roselyn selain menyampaikan sumbangan sebagai tanda sokongan dan simpati atas kejadian yang menimpa keluarga Dirang.

Naini berkata, Juita juga mahu menyenaraikan nama ibu Dirang ke dalam Projek Juitaku Sayang VI iaitu kemahiran ilmu keibubapaan bagi mendapatkan khidmat nasihat mengenai asuhan dan didikan anak-anak.

Selain itu, katanya, Juita turut sama merasai pemergian Dirang malah berharap sumbangan disampaikan sedikit sebanyak dapat mengurangkan rasa sedih keluarga terbabit.

“Kami (Juita) sebagai seorang ibu, amat faham perasaan dialami ibu Dirang iaitu kehilangan anak. Justeru, dengan kunjungan dan sumbangan dihulurkan ini, sedikit sebanyak dapat menghilangkan kesedihan keluarga dan semoga Roselyn bersabar atas ketentuan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, Roselyn ketika ditemui merakamkan ucapan terima kasihnya kepada semua pihak yang banyak membantu keluarga mereka sejak kehilangan Dirang termasuklah Juita.

Katanya, tawaran untuk menyertai Projek Juitaku Sayang itu diterimanya dengan hati terbuka, namun meminta kelonggaran untuk memberi tumpuan penuh kepada penjagaan dua cahaya matanya iaitu Mohd Hafis Abdullah, 6, dan Ainul Suhada yang berusia dua bulan.

“Peluang yang diberikan oleh Juita ini memang saya berminat untuk menyertainya, tetapi kalau boleh saya mahu membesarkan Hafis dan Suhada,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: