Partime Job

Friday 9 March 2012

Hujan berterusan 4 jam 45 minit

KUALA LUMPUR: Banjir kilat di sekitar ibu negara kelmarin berpunca daripada jumlah hujan yang tinggi berikutan hujan turun selama empat jam 45 minit mulai jam 6.45 petang, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan hujan berterusan sehingga 11.30 malam itu menyebabkan paras air di beberapa kawasan di sepanjang Sungai Klang mencecah paras amaran.


“Kesan hujan lebat itu mengakibatkan 15 kawasan dilanda banjir kilat apabila dinaiki air antara 0.3m dan 1.2m, kecuali di Kampung Periuk, Kampung Baru yang mencatat paras air sehingga 2.1m,” katanya dalam kenyataan semalam.

Antara kawasan terbabit ialah Lorong Rhu Pertama dan Persiaran Madge di Ampang Hilir; Projek Perumahan Rakyat Hiliran Ampang, Lorong Kiri 14 dan 15 serta Jalan Keramat 1 dan 2 di Datuk Keramat; Jalan Limau Kasturi, Bangsar; Jalan Liew Weng Chee Off Jalan Yap Kwan Seng; Jalan Melaka; dan Kampung Pasir Baru, Jalan Klang Lama.


Kawasan lain yang terjejas ialah Jalan Travers, Brickfields, Jalan Bandar, Jalan Loke Yew, Jalan Sultan Salahuddin dan Jalan Munshi Abdullah.


Raja Nong Chik berkata, hanya satu kawasan membabitkan pemindahan sementara iaitu di Kampung Periuk, Kampung Baru yang dinaiki air sedalam 2.1 meter, dengan 784 penduduk membabitkan 174 keluarga dipindahkan ke dewan Kelab Sultan Sulaiman.

Mereka dibenar pulang pada jam 12.30 tengah malam selepas banjir mulai surut.


“Tinjauan dan bancian petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati lebih 16 kenderaan terperangkap dan rosak akibat banjir kilat berkenaan,” katanya. - Bernama

No comments: