Partime Job

Thursday 8 March 2012

Gambar KTM SCS



KTM Berhad (KTMB) memperkenalkan kereta api elektrik pertama - KTM Komuter - pada 3 Ogos 1995 bagi memenuhi keperluan pengguna di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar subbandar untuk berulang-alik ke pusat bandar serta mengatasi kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.

Sejak diperkenalkan lebih 17 tahun lalu, jumlah penggunanya meningkat daripada 7,719 kepada hampir 100,000 orang hari ini dan bergerak di atas landasan sepanjang 150 kilometer dari Rawang ke Seremban serta dari Batu Caves ke Pelabuhan Klang dengan 53 stesen.

Memulakan operasi dengan hanya empat tren, KTMB kemudiannya menambah bilangan tren secara beransur-ansur kepada 62 tren sehingga 2006 yang dibekalkan tiga negara utama iaitu Korea Selatan, Austria dan Afrika Selatan hasil kerjasama dan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Setiap satu tren ini membawa tiga gerabak mampu membawa 400 pengguna pada satu-satu masa.

Namun atas peredaran masa, pihak KTMB terpaksa berhadapan kesukaran untuk mendapatkan bekalan alat ganti, kos penyelenggaraan yang tinggi, jumlah tren akhirnya merosot kepada 25 tren yang mampu beroperasi pada masa sekarang.

Bilangan tren ini kemudiannya tidak mampu menampung jumlah penggunanya yang meningkat saban tahun, terutamanya ketika waktu puncak iaitu pada 7 hingga 10 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam.

Pengurus Kanan Korporat Komunikasi KTMB, Mohd Fazil Ismail berkata, ketika waktu puncak, dianggarkan hampir 40,000 pengguna menggunakan perkhidmatan Komuter di sebelah pagi dan petang manakala di luar waktu puncak, dianggarkan hanya 20,000 pengguna sahaja menggunakan perkhidmatan ini.

“Di antara penyebab kepada kelewatan perjalanan adalah kerana pemandu terpaksa memastikan penumpang telah selamat masuk ke dalam tren sebelum memulakan perjalanan terutamanya di waktu puncak di mana pengguna ada yang terpaksa berasak-asak masuk ke dalam tren.

“Akibatnya, pengguna lain yang menunggu tren di stesen terpaksa menunggu lama,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Berikutan peningkatan jumlah pengguna yang mendadak ini, KTMB menyasarkan masa menunggu tren daripada 30 minit dapat dikurangkan kepada 10 minit menjelang Jun ini apabila empat unit tren baru Six-Car-Set (SCS) mula beroperasi minggu ini.

Katanya, tren buatan Zhuzhou Electric Locomotive Company (ZELC) dari China ini mampu membawa sehingga 1,100 penumpang pada satu hala berbanding jumlah ketika ini.

"Perolehan set tren yang lebih canggih dan selesa ini adalah dari peruntukan inisiatif Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Keenam iaitu meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan bandar berjumlah RM1.894 bilion yang membolehkan KTMB mendapatkan 38 set SCS di mana setiap satu set tren SCS yang mempunyai enam gerabak itu bernilai RM49 juta.

“Sehingga hari ini, KTMB telah menerima 16 set SCS dan baki 22 set secara berperingkat dan menjangkakan jumlah pengguna akan meningkat dua kali ganda apabila kualiti perkhidmatan dapat ditingkatkan selaras dengan aspirasi kerajaan dalam membudayakan penggunaan pengangkutan awam,” katanya.

Sementara itu, bagi memberi lebih keselesaan dan menjamin keselamatan penumpang wanita daripada risiko gangguan seksual yang terpaksa bersesak dengan penumpang lelaki, KTMB telah memperkenalkan koc khas untuk wanita mulai pada 28 April 2010.

Sehubungan itu, bagi meneruskan kesinambungan kepada keperluan ini, dua lagi gerabak koc wanita ditambah bagi memenuhi keperluan semasa.

Antara keistimewaan tren SCS ialah ruang duduk dan berdiri lebih agronomik, tiga baris ruang pemegang untuk pengguna berdiri, ruang perantara koc terbuka, penayangan rajah laluan lebih dinamik, sistem interkom antara pengguna, sistem makluman kepada pengguna ruang kepada orang kelainan upaya (OKU) yang lebih luas serta selesa.

Mohd Fazil menambah, selain penambahbaikan dari segi fizikal, ciri-ciri keselamatan turut ditingkatkan iaitu tangga kecemasan untuk turun, sistem pengudaraan yang lebih baik, sistem pembukaan pintu secara manual, tukul pemecah jika berlaku kecemasan dan dilengkapi dengan alat pemadam api.

Selain itu, katanya, tiga unit kamera litar tertutup pada setiap koc turut dipasang bagi memudahkan pemandu tren memantau keadaan dalam koc ketika dalam perjalanan dan merekodkan visual jika berlaku kecurian dalam koc.

"Setiap hari, sekurang-kurangnya pihak kami menerima lebih lima aduan bertulis terutamanya kes kecurian, tertinggal barang, kesesakan dalam koc.

"Kami berharap dengan adanya koc baru ini, segala rungutan dan kegelisahan pengguna komuter akan dapat diatasi demi keselesaan dan kelancaran perjalanan mereka setiap hari," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fazil berkata, KTMB turut akan memperkenalkan sistem tiket baru menggunakan token pada Mei ini bagi menggantikan konsep tiket yang berasaskan kertas.

Katanya, langkah ini diambil bagi menyahut seruan kerajaan supaya mengamalkan konsep mesra alam sekitar dan harga tiket lama masih dikekalkan.

Sehubungan itu, Mohd Fazil berharap bagi memastikan kelestarian perkhidmatan yang berkualiti KTMB berharap orang ramai tidak melakukan sebarang laku musnah terhadap tren-tren yang beroperasi dan sokongan berterusan dari pengguna.

sumber : sinar harian

No comments: