Partime Job

Thursday 8 March 2012

Fahmi kini dijaga keluarga bapa

JOHOR BAHRU: Budak lelaki malang yang dipaksa mencari makanan dan mengemis oleh bapa kandungnya dikenali sebagai Fahmi kini dipelihara keluarga bapa kandungnya selepas diserahkan polis kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, baru-baru ini.

Pengarah JKM Johor, Khatijah Abdullah berkata, kanak-kanak itu dirujuk kepada pihaknya selepas polis menahan bapa kanak-kanak berkenaan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri.


“Selepas ditahan, polis mendapati kanak-kanak itu tiada penjaga lalu menyerahkannya kepada JKM untuk dipelihara. “Kami kemudian melakukan siasatan sebelum menemui ahli keluarga bapa kandung kanak-kanak itu yang sanggup memeliharanya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya membenarkan kanak-kanak itu tinggal bersama ahli keluarga bapanya yang sanggup menyara dan menyediakan keperluan untuknya mengikut Seksyen 30 (1) (b) Akta Kanak-Kanak 2001.


“Biarpun diserahkan kepada keluarga bapanya, JKM tetap memantau keadaan kanak-kanak itu dari semasa ke semasa,” katanya.


Pada masa sama, beliau berkata, JKM berjaya menyelamatkan 11 kanak-kanak mengalami nasib sama sepanjang Januari hingga Disember 2011.

Katanya, daripada jumlah itu, tiga adalah kanak-kanak perempuan manakala lapan lagi kanak-kanak lelaki.


“Semua mereka berusia antara lima dan 16 tahun dengan sebahagiannya ditemui berpeleseran di tepi jalan, kompleks beli-belah dan bergaul dengan penagih dadah serta dalam keadaan tidak terurus kerana tiada tempat perlindungan.

“Kematian ibu bapa, lari dari rumah, diabaikan penjaga serta perceraian antara faktor golongan berkenaan hidup gelandangan,” katanya.


Menurutnya, sebahagian besar mereka kini berada di bawah pengawasan JKM dan ditempatkan di pusat perlindungan di pelbagai institusi di seluruh negara bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih sempurna.


“JKM turut memberi peluang kepada individu berminat menjadi penjaga pelihara kepada golongan berkenaan dengan membuat permohonan.


“Elaun RM250 akan diberikan bagi menampung perbelanjaan golongan berkenaan sepanjang berada bersama penjaga pelihara,” katanya.

sumber : mymetro

No comments: