Partime Job

Thursday 8 March 2012

‘Dirang masih hidup’

JOHOR BAHRU: “Kami sudah mendapatkan khidmat lima pengamal perubatan tradisional bagi membantu menjejaki Dirang dan semua mengatakan dia masih hidup dan dijaga sepasang lelaki dan wanita di sebuah rumah kosong.”

Demikian kata Roselyn Alan, 25, ibu kepada Nur Nadirah Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Dirang, berusia lima tahun yang hilang sejak tujuh hari lalu.


Menurutnya, selain keluarga, jiran serta penduduk setempat juga berusaha membantu mengesan Dirang dengan memperkenalkan beberapa bomoh di kawasan sekitar selain membantu mengedarkan poster.

“Saya terharu dengan bantuan semua pihak termasuk bomoh dan ustaz yang sanggup membantu secara ikhlas tanpa sebarang bayaran.


“Sehingga kini, lima bomoh dan ustaz yang ditemui masing-masing dari Pasir Gudang, Seri Alam, Kampung Sepakat, Kampung Pasir Putih dan Masai memaklumkan Dirang masih hidup dan selamat di bawah jagaan dua individu iaitu seorang lelaki dan wanita.


“Sebahagian mereka juga menasihatkan kami supaya mencari Dirang di kawasan perumahan kosong berhampiran kediaman kami kerana percaya dia disembunyikan di sebuah rumah kosong,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, usaha itu setakat ini belum berhasil mengesan anak keduanya itu.


“Namun, kami tidak akan berputus asa dan selagi terdaya akan tetap berusaha mencarinya. Malam ini dan seterusnya, kami akan mengadakan kenduri doa selamat di rumah dan menjemput penduduk setempat.

“Selain itu, kami akan meneruskan usaha menampal poster Dirang di merata tempat bagi memudahkan proses mengesannya dengan bantuan orang ramai dan berharap dia ditemui secepat mungkin. “Saya merayu mereka yang melihat Dirang atau mengurungnya supaya segera memulangkannya kembali ke pangkuan kami,” katanya.

sumber : myMetro

No comments: