Partime Job

There was an error in this gadget

Thursday, 8 March 2012

Derita budak tong sampah

JOHOR BAHRU: “Adik cari makanan di tepi jalan dan tong sampah sebab lapar, bapa pula asyik tidur selepas makan,” kata seorang budak lelaki berusia lima tahun ketika menceritakan pengalamannya mencari sisa makanan untuk dikongsi bersama bapanya, seorang penagih tegar.

Kanak-kanak yang dikenali sebagai Fahmi itu berkata, selepas ibunya menghilangkan diri sejak beberapa bulan lalu, bapanya yang juga penghidap HIV positif kembali aktif menagih dadah hingga tidak mampu bekerja.


Menurutnya, berikutan itu, setiap pagi dia berjalan kaki sehingga dua kilometer bagi mencari makanan untuk mengisi perut selain mengemis sebelum hasilnya diserahkan kepada bapanya.

“Ada juga orang marah apabila adik meminta makanan setiap hari, tetapi adik takut bapa marah dan pukul jika gagal membawa pulang makanan atau wang.


“Sudah banyak tempat bapa bawa adik termasuk di bawah jambatan menyebabkan adik selalu digigit nyamuk selain disengat serangga,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.


Selain menyelongkar tong sampah mencari sisa makanan, Fahmi juga sering pergi ke belakang restoran mencari sisa makanan walaupun sudah berkulat dan busuk semata-mata mahu dibawa pulang dan diserahkan kepada bapanya.

Sementara itu, Pengurus Rumah Sinar Sofia Taman Perling, di sini, Ari Rahayu Rahmat yang keluar membuat tinjauan sebelum menemui Fahmi berkata, kanak-kanak itu hidup ala nomad selain pernah tinggal di bawah jambatan di Perling bersama bapanya.


“Saya difahamkan, sebelum ini, kedua beranak itu menerima bekalan makanan dihantar sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di pusat bandar raya.

“Bagaimanapun, operasi NGO berkenaan dihentikan menyebabkan Fahmi hilang sumber makanan ditambah dengan bapanya yang menganggur serta menagih dadah.


“Akibatnya, Fahmi terpaksa menagih simpati pengusaha restoran atau menyelongkar tong sampah untuk mendapatkan makanan,” katanya.


Menurutnya, ada pengusaha restoran yang sanggup memberi makanan kepada Fahmi, tetapi ada juga yang menghalau dan menghina kanak-kanak itu.


“Memandangkan bapa Fahmi dikenali sebagai Abdullah berusia 40-an sering ketagihan dadah, maka dia tidak mampu bekerja atau menanggung kehidupan anak tunggalnya itu.


“Sebaliknya, Fahmi yang masih kecil terpaksa memikul tanggungjawab mencari wang dengan mengemis dan jika gagal berbuat demikian, bapanya akan memukulnya,” katanya.


Katanya, beliau sendiri pernah membantu menghulurkan bekalan makanan dan pakaian kepada Fahmi, namun usahanya memujuk Abdullah supaya membenarkan kanak-kanak berkenaan tinggal di Rumah Sinar Sofia masih tidak berjaya.

sumber : mymetro

No comments: