Partime Job

Thursday 22 March 2012

Berhenti sekolah demi keluarga


BUKIT MERTAJAM - Akibat kesempitan hidup dan simpati dengan kesusahan ibu yang terpaksa bekerja menyara keluarga menggantikan ayah yang terlantar sakit, Nor Ain Ahmad Nasir, 17, mengambil keputusan untuk berhenti sekolah.

Namun, dia tetap berharap dapat menyambung semula persekolahan kerana bercita-cita menjadi doktor.

"Kalau boleh mahu sambung sekolah tapi saya kasihan pada emak dan hidup kami sekeluarga susah, jadi saya buat keputusan berhenti sekolah," katanya ketika ditemui di Taman Seri Pauh di sini kelmarin.

Dalam nada sebak, Nor Ain yang merupakan anak sulung daripada lima beradik berkata, kadangkala dia bekerja di gerai makan tempat ibunya, Azrina Jali, 36, bekerja bagi membantu menampung perbelanjaan harian keluarga.

"Saya kerja angkat pinggan atau ambil pesanan di gerai. Bayarannya tak menentu, kadang-kadang dibayar RM10 atau RM15," katanya.

Selain bekerja di gerai makan, Nor Ain, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pauh di sini juga menjaga adiknya, Nur Syuhadah, 8, yang menghidap sindrom down serta mengambil adik bongsunya, Puteri Zhullaikha, 6, pulang dari tadika.

Dua lagi adiknya, Natasha Nabiha, 13, dan Nur Fatin Adilah, 12, masih belajar di SMK Seri Pauh dan Sekolah Kebangsaan Seri Pauh.

Bapa mereka, Ahmad Nasir Abdul Rahim, 43, disahkan menghidap sakit jantung yang kronik sejak enam tahun lepas.

sumber : kosmo

No comments: