Partime Job

Friday 9 March 2012

Bergaya dengan kad kredit palsu


SUBANG JAYA – Mem­punyai 14 rekod lampau bersabit kes dadah dan pelbagai jenayah lain nyata tidak menginsafkan seorang lelaki berusia lanjut apabila bergiat aktif menggunakan kad kredit palsu pula bagi membuat pembelian barang.

Bagaimanapun, nasib lelaki itu dan seorang lagi rakannya yang berlagak dengan kad kredit palsu ketika membeli-belah berakhir malang apabila kegiatannya berjaya dihidu peniaga sebuah pusat beli-belah di Bandar Sunway di sini, yang kemudian bertindak menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Su­bang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, bertindak atas aduan peniaga yang meragui ketulenan kad kredit dimiliki suspek, pihaknya berjaya memberkas dua lelaki masing-masing berusia 23 dan 56 tahun di dalam pusat beli-belah berkenaan.

Menurutnya, ketika ditahan kedua-dua suspek sudah membuat dua transaksi pembelian masing-masing ber­harga RM307 dan RM253.60.

“Siasatan dan pemeriksaan menyeluruh mendapati, suspek mempunyai lima kad kredit palsu yang tidak mempunyai cip keselamatan.

“Polis percaya suspek membeli kad kredit daripada satu sindiket yang mendalangi kegiatan pemalsuan kad terbabit,” katanya pihaknya percaya suspek sudah membuat beberapa transaksi pembelian menggunakan kad sama sebelum ini.

Beliau berkata, kedua-duanya ditahan reman sehingga esok untuk siasatan menye­luruh dan pihaknya masih mem­buru sindiket terbabit,” katanya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Kesek­saan.

Sementara itu, dalam kes berasingan Yahaya berkata, pihaknya menemui sepucuk pistol jenis Revolver Colt 38 Special dan lima peluru hidup di sebuah unit pangsapuri di Taman Subang Mas, di sini.

Katanya, senjata tidak mempunyai lesen berkenaan ditemui tersembunyi di sebalik kusyen kerusi kecil di salah sebuah bilik dihuni dua beradik lelaki.

“Bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah rumah dan menahan seorang lelaki berusia 33 tahun kira-kira jam 1.45 pagi. Lelaki terbabit didapati positif dadah jenis methamphetamine dalam saringan ujian air kencing dilakukan.

“Enam hari selepas itu, kita menahan seorang lagi lelaki iaitu abang suspek pertama di Shah Alam. Suspek berusia 37 tahun bekerja sebagai pengawal peribadi mempunyai 11 kes lampau termasuk kes curi kenderaan, samun, pecah rumah dan dadah,” katanya sebuah kereta jenis Wira yang dilaporkan hilang di Tanjung Kling, Melaka dirampas daripada suspek.

Beliau berkata, polis percaya pistol ditemui digunakan untuk melakukan jenayah samun. Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971.

sumber : sinarharian

No comments: