Partime Job

Thursday 22 March 2012

Bengang cukai tinggi


TANJONG KARANG - Kenaikan cukai pintu dan premium tanah yang didakwa melambung tinggi di beberapa kawasan di Parlimen Tanjong Karang, di sini memberi kesan kepada penduduk terutamanya petani dan peniaga kedai kecil.

Lebih dikesalkan, bayaran premium dikenakan Kerajaan Negeri seolah-olah menekan penduduk kerana nilai dikenakan tinggi dengan alasan mengikut nilai hartanah semasa.

Wakil penduduk, Mohd Khir Ramli berkata, kenaikan cukai dan premium tanah itu jelas memberi bebanan sedangkan kebanyakan mereka hanya bergantung hidup dengan hasil pertanian dan berniaga kecil-kecilan.

Menurutnya, banyak aduan diterima di kawasannya membabitkan pembaharuan cukai pintu dan premium tanah rumah kedai yang kebanyakan terkejut dengan jumlah bayaran yang perlu dijelaskan terlalu tinggi.

“Jika dahulu ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), penduduk hanya perlu membayar kurang daripada RM1,000 mengikut Kaedah Tanah Selangor, tetapi kini lain pula jadinya.

Bahkan penduduk yang ingin memperbaharui tahun ini menghadapi kekangan kewangan dengan kenaikan harga barangan dan minyak.

“Jadi, saya mahu kerajaan kaji perkara ini dan dapat memberi pengurangan kepada penduduk di sini kerana kadar yang dikenakan seolah-olah menyerupai kadar di kawasan pekan sedangkan mereka ini hanya cukup-cukup makan sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Khir berkata, ada penduduk terkejut apabila menerima surat memperbaharui premium tanah apabila terpaksa membayar untuk jumlah yang besar iaitu RM38,000 sedangkan sebelum ini hanya perlu bayar lebih kurang RM500 sahaja.

Katanya, penduduk bukan orang senang kerana hanya bergantung hidup dengan hasil jualan makanan sahaja.

“Jika bayaran yang dikenakan sedemikian rupa, bagaimana penduduk mahu membayarnya dalam tempoh yang ditetapkan?

“Kadar yang dikenakan adalah terlalu mahal sama seperti dikenakan di kawasan pekan sedangkan ini adalah kawasan kampung kerana saya beranggapan biar jumlah dikenakan adalah berpatutan dan tidak menekan penduduk ,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: