Partime Job

Friday 2 March 2012

Awasi Pembacaan Anak-anak


KERAJAAN telah menggerakkan pelbagai program untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat di negara ini selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara pembaca.

Ternyata usaha itu berbaloi apabila kadar membaca buku di Malaysia semakin meningkat daripada dua buah buku setahun pada tahun 1996 kepada lapan buah buku setahun pada tahun 2010.

Di sebalik peningkatan minat membaca masyarakat hari ini, persoalannya apakah bentuk bacaan yang dipilih oleh pembaca?

Adakah bahan bacaan di negara ini ditapis dengan teliti terutamanya membabitkan buku import?

Ia berikutan sejak kebelakangan ini, lambakan bahan bacaan import dilihat terlalu bebas dengan pengisian lucah.

Paling menyedihkan apabila ia turut dimomokkan untuk golongan kanak-kanak.

Terbaharu, kebimbangan itu disuarakan Pengerusi Biro Aduan Komuniti UMNO, Datuk Khairun Aseh berhubung bahan-bahan bacaan yang mempunyai elemen kelucahan yang dijual kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun di negara ini.

Racun fikiran kanak-kanak

Baru-baru ini, media telah mendedahkan tentang sebuah buku import yang memaparkan tulisan dan ilustrasi lucah yang dianggap terlampau serta tidak sesuai untuk pembacaan golongan itu.

Khairun mengakui buku itu boleh meracuni dan memanipulasi pemikiran kanak-kanak untuk mencubanya secara praktikal.

"Kita tidak boleh terima buku sebegini apatah lagi, untuk kanak-kanak bawah 12 tahun. Namun, apa yang pelik bagaimana buku tersebut boleh terlepas daripada penguatkuasaan.

"Oleh itu, kita menggesa agar Dasar Buku Negara 1998 dikemas kini kerana banyak aduan yang diterima mengenai kandungan buku-buku bacaan kanak-kanak yang didapati mempunyai unsur lucah," ujar beliau.

Pada masa yang sama, menurut beliau, dasar itu juga bagi menggalakkan lebih ramai penulis dan syarikat dalam negara mendapat peluang dalam pengeluaran buku di negara ini.

Banyak buku lain

Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! di beberapa buah kedai buku utama di ibu negara mendapati, terdapat banyak lagi buku-buku import yang berunsurkan lucah masih tersusun rapi di rak bahan bacaan kanak-kanak.

Buku-buku itu dijual pada harga RM30 sehingga RM50. Kandungan buku itu bukan sahaja menunjukkan ilustrasi alat sulit lelaki dan wanita malah, intipati buku itu juga dianggap keterlaluan kerana memberi penjelasan secara terperinci.

Antara intipati terlampau tersebut termasuklah menceritakan perubahan yang berlaku terhadap diri seorang kanak-kanak perempuan dan lelaki semasa mencapai akal baligh.

Sebuah buku lain yang terletak di rak buku untuk kanak-kanak bawah 12 tahun pula, menyediakan maklumat menyeluruh tentang perubahan fizikal. Dalam buku itu juga menyebut cara mengatasi perasaan keliru, pelik dan takut apabila berlaku perubahan pada diri mereka.

Namun, apa yang menjadi persoalan adakah bahan bacaan tersebut sesuai untuk kanak-kanak di negara ini dan selari dengan nilai dan pegangan hidup kita sebagai muslim apabila tanpa rasa segan silu membogelkan tubuh lelaki dan wanita dalam bentuk ilustrasi?

Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Jas Laile Suzana Jaafar berpendapat apa jua bahan bacaan yang tidak sesuai dan bercanggah dengan budaya ketimuran sepatutnya tidak dijual di negara ini.

Psikologi kanak-kanak

Menyentuh mengenai buku-buku import yang mempunyai unsur lucah, beliau mengakui, bukan semua buku yang berada di pasaran mempunyai kandungan lucah. Namun, kandungan yang keterlaluan sememangnya tidak sesuai khususnya untuk pembangunan sahsiah kanak-kanak.

Pendapat beliau mungkin didorong dengan hakikat bahawa betapa pelbagai kajian yang pernah dilakukan berpendapat fasa kanak-kanak merupakan fasa paling penting kerana perkembangan otak manusia berlaku paling pantas pada waktu itu.

Robert Havighurst seorang ahli psikologi Amerika Syarikat yang terkenal dengan teori perkembangan sosio budaya dan antropologi contohnya menjelaskan melalui kajian beliau, perkembangan personaliti kanak-kanak dipengaruhi oleh nilai-nilai, norma-norma serta budaya masyarakat dan persekitarannya.

Daripada kajian Havighurst itu, ia jelas membuktikan betapa apa yang berlaku di sekeliling kanak-kanak dan nilai-nilai yang diterapkan ibu bapa akan menentukan perkembangan sahsiah diri mereka.

Bagi seorang ibu, Sharmila Mohd. Bashir, 34, penerbitan bahan bacaan kanak-kanak yang berunsur lucah di pasaran tidak boleh diambil mudah kerana ia tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.

Ibu kepada tiga orang anak itu mengakui kanak-kanak akan hanyut dalam keasyikan membaca buku-buku berkenaan.

Apatah lagi, ia bukan sahaja dipersembahkan dalam bentuk tulisan bahkan, disertakan dengan ilustrasi untuk menarik minat bacaan si kecil.

"Penjelasan secara mendalam akan mewujudkan rasa ingin tahu lebih lanjut sekali gus mereka akan mencuba melakukan aksi itu. Keterbukaan melampau sebelum waktunya akan menyebabkan mereka mudah terjebak dengan masalah sosial.

Pendapat itu turut disokong Mohammed Ali Mustapha, 34, yang turut kecewa dengan lambakan bahan bacaan tidak bermoral untuk anak-anak kecil.

"Ibu bapa perlu bijak memilih bahan bacaan untuk anak-anak mereka. Jangan biarkan kanak-kanak memilih sendiri kerana jika tidak dipantau ia mungkin menyebabkan mereka tersilap membeli bahan bacaan.

"Oleh itu, golongan ibu bapa perlu meluangkan masa ketika anak-anak mahu mengunjungi kedai buku. Ibu bapa perlu berkomunikasi dengan anak tentang kandungan buku yang dipilih untuk bacaan," jelasnya.

Bagaimanapun, Mohammed Ali berharap pihak berkuasa perlu sentiasa mengadakan pemantauan terhadap bahan-bahan yang kini berada di pasaran.

Sumber : kosmo

No comments: