Partime Job

There was an error in this gadget

Wednesday, 21 March 2012

Adik remaja diculik: 'Baby nak kakak'


KUANTAN - ”Kami rindukan kakak, selagi kakak tak pulang, selagi itu, kami tak nak pergi sekolah,” kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Fakeh, Muhammad Syahmi Aiman dan Siti Nurul Aisyah, 11 adik kepada remaja, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15 yang didakwa dipercayai diculik di hadapan sebuah kedai telekomunikasi di Taman Tas di sini, kira-kira jam 3 petang pada petang Ahad lalu.

Bagi Syahmi Aiman yang lebih mesra dipanggil “Baby” oleh keluarganya, dia terlalu rindukan kakaknya dan masih terbayang-bayang kejadian yang berlaku sekelip mata di hadapannya.
“Sampai sekarang, Baby masih terkejut, sedih sebab paling rapat dengan kakak (Fatihah) dan dia suka usik Baby.

“Baby nak kakak, tolong pulangkan kakak pada kami, kakak baik dan paling sayang Baby,” rayunya.

Sinar Harian berkunjung ke rumah itu di Lorong Taman Tas 6 di sini, semalam dan mendapati kedua adik-beradik itu sugul serta tidak pergi ke sekolah kerana gusar keselamatan anak sulung bagi pasangan Mahadi Muda, 40 dan Nor Mala Mohd Lazin, 33.

“Sebelum kami pergi ke kedai itu, kakak ada meluahkan perasaan tidak sedap hati dan sempat bertanya kalau terjadi apa-apa padanya, apa yang Baby akan buat, tapi Baby tak tahu nak jawab apa-apa,” katanya.

Menceritakan kejadian tersebut, Syahmi Aiman memberitahu, sebaik keluar daripada kedai terbabit selepas menambah nilai kredit pra bayar, kakaknya ditarik masuk dalam sebuah kenderaan.

“Kejadian berlaku sepantas kilat, saya dan Aishah terkedu namun sempat menarik tangan kakak dan melihat kepala kakak dicekup ke bawah ketika dibawa masuk dalam kereta.

“Masa itu kami hanya mampu menjerit namun tiada siapa yang datang membantu, jadi kami terus balik ke rumah melaporkan kejadian ini pada ibu,” dakwanya.

Dalam pada itu, Aisyah juga mengakui tidurnya tidak lena kerana setiap malam dia tidur bersama Fatihah yang juga bekas pelajar aliran agama di sebuah sekolah di Jerantut sebelum berpindah ke sekolah barunya di sini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan bermula tahun ini.


Ibu terima panggilan

Sementara itu, Nor Mala memberitahu, dia ada menerima panggilan seorang lelaki yang mendakwa anaknya selamat dan berada bersama keluarga angkatnya namun tidak memberitahu lokasi sebenar anaknya berada.

Menurutnya, dia menerima panggilan tersebut kira-kira jam 2 pagi dan berbual hingga dua jam untuk mengorek cerita daripada lelaki tersebut yang didakwa turut dikenalinya biarpun bukan secara rapat.

“Saya ada memujuknya dan saya cakap 'kalau anak ini baik, jujur nak tolong makcik, tolong ceritakan kisah sebenar,'” katanya yang sangat merindui Fatihah kerana terlalu rapat dan keletahnya yang selalu menghiburkan hati mereka sekeluarga.

Nor Mala memberitahu, pada awalnya, lelaki tersebut teragak-agak dan mendakwa dia seorang pelajar tingkatan empat, sebelum dipaksa dan memberitahu dia mengetahui keadaan Fatihah daripada seorang kawan perempuan Fatihah.

“Lelaki itu mendakwa dia turut diberitahu, perempuan yang menculik geram dengan anak saya dan gusar kerana kejadian itu sudah menjadi siasatan polis serta keluar surat khabar,” dakwanya.

Menurutnya, segala isi dan maklumat perbualan itu sudah diberikan kepada polis untuk siasatan lanjut dan Nor Mala turut memberitahu, sejak kisah Fatiha terpapar, dia sudah menerima lebih 20 panggilan dari seluruh negara.

Malah ketika ditemu bual media, Nor Mala menerima panggilan daripada seorang lelaki dari Kampung Baru, Kuala Lumpur namun lelaki tersebut tersilap kerana bertanyakan sebuah lagi kisah penculikan seorang remaja perempuan di Shah Alam.

Sementara itu, ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi pemberita memaklumkan kes itu masih dalam siasatan pihaknya.

"Polis masih menjalankan siasatan daripada segenap sudut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dari penjaga yang sah," katanya enggan mengulas lanjut.

sumber : sinarharian

No comments: