Partime Job

Monday 5 March 2012

8 suspek direman

Mangsa disimbah petrol dalam ladang masih kritikal

KUALA LUMPUR: Polis menyifatkan kes bakar seorang lelaki sehingga badannya melecur 80 peratus di ladang kelapa sawit di Sungai Tengi, Hulu Selangor, Ahad minggu lalu, selesai selepas menahan lapan suspek termasuk empat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Semua suspek berusia 19 hingga 25 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan iaitu Selasa lalu membabitkan dua pelajar wanita sebuah IPTS Selangor di rumah sewa mereka, sebelum menahan enam suspek lain di Labu Kubong, Teluk Intan, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy, berkata berikutan kejayaan menahan lapan suspek itu dalam tempoh seminggu, pihaknya menganggap kes berkenaan selesai.

“Semua suspek kini direman sehingga Selasa dan Khamis ini untuk siasatan lanjut. Kita menganggap kes sudah selesai dan kini dalam proses mengambil keterangan daripada suspek.

“Siasatan setakat ini mendapati, punca kejadian dipercayai bermotifkan dendam dan semua suspek disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, Ahad minggu lalu, Mohamad Syahirudin Muhammad Shauki, 20, melecur hampir 80 peratus badan akibat disimbah dengan petrol dan dibakar di ladang sawit Sungai Tengi oleh lelaki yang dikenalinya.
Selepas dibakar, mangsa berlari sehingga 400 meter, sebelum meminta pertolongan dan menceritakan kejadian dibakar tiga lelaki dikenalinya kepada seorang penduduk Sungai Tengi.

Syahirudin memaklumkan dia dipaksa menaiki kereta oleh tiga lelaki itu ke ladang kelapa sawit sebelum membakarnya.

Norel Azmi berkata, mangsa masih dirawat di Unit Rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh dan keadaannya dilaporkan kritikal.

Kakak mangsa, Seri Wahyuni, 25, ketika dihubungi berkata, keadaan adiknya masih kritikal dan tiada perubahan sejak dimasukkan di ICU hospital berkenaan.

“Kami hanya mampu berdoa supaya Syahirudin panjang umur dan sembuh seperti sediakala. Namun, sehingga kini doktor memaklumkan belum ada perubahan. Kami gembira mereka yang bertanggungjawab sudah ditahan,” katanya.

Sumber :Bharian

No comments: