Partime Job

Monday 5 March 2012

21 peluru bertaburan

Trak tunda lapor polis temui bahan letupan di lokasi nahas 3 kenderaan

KULIM: Seorang pemandu trak penunda yang tiba di satu lokasi kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Bukit Sarang Ayam, Sungai Karangan, di sini, terkejut apabila menemui 21 butir peluru hidup 9 milimeter bertaburan di tepi jalan di situ, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song, berkata pemandu trak penunda berusia 30-an itu menemui peluru berkenaan tidak lama selepas tiba di lokasi kemalangan kira-kira jam 9 pagi semalam.
“Berdasarkan laporan, sebaik tiba pemandu trak penunda itu menjalankan urusan untuk menarik kenderaan yang terbabit dalam kemalangan dan ketika berehat dia ternampak peluru hidup berkenaan bertaburan di celah rumput di situ.

“Sebahagian daripada peluru berkenaan kelihatan sudah pudar, manakala yang lain berada dalam keadaan elok seperti masih baru, " katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, pemandu trak penunda itu menghubungi polis sebelum pihak berkuasa itu menghantar anggotanya ke lokasi berkenaan bagi menjalankan siasatan.

Su Song berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan peluru hidup terbabit sudah berada di situ sebelum kemalangan itu berlaku berdasarkan keadaannya yang sudah pudar.
“Polis masih menjalankan siasatan bagaimana peluru berkenaan boleh berada di situ dan sedang mengenal pasti pemiliknya,” katanya.

Katanya, polis kini menyiasat kes mengikut Akta Senjata Api dan orang ramai yang mengetahui atau ada maklumat mengenai peluru berkenaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim 04-4906222, bagi membantu siasatan polis.

Sumber :Bharian

No comments: