Partime Job

Monday 5 March 2012

20 aduan halal sehari

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima lebih 20 aduan sehari yang disalurkan orang ramai melalui e-mel agensi berkenaan, yang kebanyakannya membabitkan isu halal dan haram membabitkan produk dan premis makanan.

Jurucakap Unit Perhubungan Awam Jakim berkata, pihaknya memang kerap menerima pertanyaan dan aduan berkaitan isu halal, sekali gus menunjukkan masyarakat semakin prihatin mengenai isu berkenaan.


Menurutnya, berdasarkan rekod aduan pada Januari lalu, pihaknya mendapati kategori pertanyaan dan aduan awam mengenai isu itu jauh lebih tinggi berbanding 11 kategori aduan lain. “Pada Januari lalu sebanyak 121 daripada sejumlah 219 aduan dan pertanyaan yang diterima daripada orang ramai membabitkan isu halal.

“Ia membabitkan aduan seperti premis yang mempamerkan logo halal tidak diiktiraf Jakim, isu semasa mengenai halal serta kepastian status halal pada sesuatu produk makanan,” katanya kepada Harian Metro.


Menurutnya, statistik itu juga menunjukkan kategori lain membabitkan kemusykilan agama, aduan ke agensi lain dan pertanyaan umum kedua tertinggi selepas isu halal, mencatatkan 54 aduan. “Kategori membabitkan artikel serta laman web ajaran menyeleweng dan menghina Islam adalah ketiga tertinggi iaitu sebanyak 40 aduan.


“Seterusnya dua aduan diterima bagi kategori perkhidmatan tidak memuaskan termasuk kaunter, laman web dan telefon.

“Kategori kelewatan dan tiada tindakan serta kategori salah guna kuasa atau penyelewengan masing-masing satu aduan,” katanya.


Beliau berkata, sebanyak 195 daripada 219 aduan itu sudah diselesaikan, manakala 24 aduan lagi masih dalam siasatan. “Semua aduan perlu dikaji dan diteliti terlebih dulu bagi mendapatkan bukti kukuh sebelum tindakan selanjutnya dilakukan.

“Malah, ia turut membabitkan beberapa prosedur sebelum tindakan susulan dilakukan. Bagaimanapun, Jakim sentiasa memantau dan berusaha memastikan aduan dapat diselesaikan segera,” katanya. Orang ramai yang ingin mengemukakan sebarang aduan, cadangan dan pertanyaan, boleh melayari laman web di www.islam.gov.my serta klik pada paparan Maklum Balas atau Aduan di sebelah kiri halaman utama dan mengisi ruang kosong disediakan.

Sumber : harian Metro

No comments: