Partime Job

Friday 2 March 2012

12 maut dalam puting beliung

NASHVILLE: Puting beliung melanda kawasan tengah dan barat Amerika Syarikat semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh, termasuk enam di Illinois selepas sebuah rumah diterbangkan angin dan menghempap mereka, kata pihak berkuasa.

Cuaca buruk yang melanda enam negeri bermula di Kansas dan Missouri tengah malam kelmarin turut membabitkan kawasan Tennessee dan wilayah Cumberland Plateau, kira-kira sejam dari timur Nashville, menyebabkan dua wanita di Cumberland Countydan seorang di Dekalb County terbunuh, kata pegawai agensi kecemasan.
Tiga orang di Missouri juga terbunuh dalam kejadian ribut yang melanda ketika tengah malam. Satu puting beliau menyebabkan sebuah kelab hiburan terkenal di Branson, Missouri ditutup sementara.
Dua lelaki dan empat wanita maut dalam puting beliung awal pagi yang melanda Harrisburg, Illinois, sebuah bandar dengan hampir 10,000 penduduk, kata Datuk Bandar Eric Gregg yang menyifatkan kejadian ribut itu sebagai kemusnahan yang sungguh ‘dahsyat’.

Di Harrisburg, enam terbunuh akibat angin kencang yang menyebabkan sebuah rumah terbalik dan menimpa sebuah rumah lain.

“Beratus-ratus rumah rosak, manakala berjuta dolar kerugian dicatatkan. Hospital turut mengalami kerosakan. Sebuah pusat beli belah dengan sekurang-kurangnya 10 kedai juga mengalami kemusnahan,” kata Gregg.

Seorang kakitangan di perkhidmatan Perhutanan Amerika Syarikat Mike Hancock bersama beberapa rakannya cuba menyelamatkan mangsa dalam kejadian rumah runtuh yang menyebabkan enam orang terkorban.
“Kami cuba merangkak masuk ke dalam rumah itu tetapi ia tidak cukup stabil, seluruh tapaknya bergegar Kami terpaksa keluar dari situ,” katanya.

Gabenor Illinois, Pat Quinn mengisytiharkan darurat di negeri itu, begitu juga Gabenor Missouri, Jay Nixon yang mengisytiharkan darurat di negerinya, sementara Gabenor Kansas, Sam Brownback mengisytiharkan bencana darurat di Wabaunsee County.

Pusat ramalan ribut Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan menganggarkan kekuatan puting beliung itu adalah EF-4, di mana ia membawa angin selaju 320 km sejam.

Kadar EF-4 meletakkan puting beliung itu setanding dengan kejadian yang membunuh 64 orang di Tuscaloosa, Alabama pada April lalu, dan satu takuk di bawah ribut Joplin dengan kekuatan EF-5 yang memusnahkan seluruh bandar Missouri. – Reuters

No comments: